Pages

25 January 2012

Setahun Revolusi Rakyat Mesir

Demonstran di Jambatan Qasr al-Nil
25 Januari 2012, genap setahun bermulanya Revolusi Rakyat Mesir, hasil dari benih derita 80 juta jiwa penduduk Mesir yang dibajai selama lebih 30 tahun. Jiwa-jiwa ini ditindas oleh pemimpin yang korup dan tekanan kebebasan. Asalnya himpunan ini cuma ingin mengambil kesempatan sempena Hari Polis Kebangsaan Mesir memprotes kekejaman polis di hadapan Kementerian Dalam Negeri Mesir, kemudian motifnya berkembang biak kepada menuntut perletakan jawatan menteri, penamatan amalan korup pemimpin, pemansuhan undang-undang darurat di Mesir dan menghadkan tempoh pemerintahan presiden.

Rasanya umum mengetahui Hosni Mubarak memerintah Mesir dengan sistem kuku besi kerana bimbangkan pengaruh Ikhwanul Muslimin. Itulah alasan yang diberikan kepada sekutunya di Barat, gerakan 'pelampau agama' Ikhwanul Muslimin perlu dibendung dengan pemerintahan diktator.

Demonstrasi di Dataran Tahrir, 8 Februari 2011

Lahir pada 1989 menyebabkan saya hanya mengenali Hosni Mubarak sebagai presiden Mesir. Namun isu Asia Barat (Palestin dan sebagainya) menggamit saya untuk mempelajari sejarahnya terutama dalam abad ke-20. Mengenal Gamal Abdel Nasser membuat saya kagum. Beliau seorang yang mampu menyatukan negara Teluk memimpin perang terhadap cita-cita Israel, walaupun akhirnya gagal juga. Diganti Anwar Sadat yang berdamai dengan Israel kemudian dibunuh, terus naik Hosni Mobarak.


Bekas Presiden Mesir: Gamal Abdul Nasser, Anwar Sadat & Hosni Mubarak

Faham sosialis yang mereka anuti atau cenderung kepada menyebabkan secara tidak langsung kebebasan rakyat Mesir itu telah lebih setengah abad dirompak dari hidup mereka, walaupun tidak secara mutlak. Tetapi inilah dia benih yang disemai, dibajai dengan kekejaman polis dan kemerosotan taraf hidup maka hasilnya sedang dituai melalui Revolusi ini. Tuaiannya bagaimanapun masih belum sempurna, baru berhasil melakukan tiga perkara iaitu menjatuhkan NDP (parti pemerintah), mengheret Hosni dan konconya ke pengadilan (jika benar nanti ada keadilan) dan mengisi parlimen dengan MP pilihan rakyat yang sebenar.

Maka oleh itu, masih berbondong-bondong rakyat berhimpun di Dataran Tahrir menuntut perubahan disegerakan. Mereka nyata bimbang apa yang berlaku sekarang cuma drama lakonan bagi meleraikan semangat Revolusi. Ada yang menjangkakan Majlis Pimpinan Tentera akan terus memegang tampuk kuasa, seterusnya menjadikan usaha Revolusi menjadi tidak bermakna. Oleh itu, sama-sama kita berdoa apa yang sedang berlaku ini adalah sebahagian dari kejayaan mutlak yang akan mereka kecapi tidak lama lagi, Insya Allah.
Dataran Tahrir, Kaherah (1941)



No comments: