Pages

02 October 2012

Kenangan di Bandar Seri Begawan

Sekarang ini banyak sungguh benda yang saya rindu, dan salah satunya ialah bandar kelahiran di negeri tanah tumpah darah yang kira-kiranya sudah 18 tahun tak terjejak dek kaki ini iaitulah Bandar Seri Begawan (BSB) di Negara Brunei Darussalam, negara yang kaya, indah dan permai. Semoga sentiasa ianya di bawah kerahmatan Allah SWT.

Bendera Brunei Darussalam
Maka apabila bercerita tentang Bandar Seri Begawan, gambaran pertama yang menjelma di minda ialah masjidnya yang terbina di kawasan lagun buatan di tebing Sungai Brunei berhampiran Kampong Ayer. Masjid ini diberi nama Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, bersempena nama Sultan Omar Ali Saifuddin III, Sultan Brunei ke-28. Siap dibina pada 1958, masjid ini berupaya menampung kira-kira 3,000 jemaah. Senibinanya yang dipengaruhi kesenian Mughal sentiasalah menarik perhatian saya semasa berada di sana. Jarak di antara masjid ini dengan rumah yang saya tinggal ketika di BSB dahulu hanyalah kira-kira 1.5 km. Maka, bila masuk waktu solat, selalu jugalah abah bawa solat di sana.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin
Sebuah lagi tempat yang selalu dikunjungi semasa di BSB dahulu ialah Taman Persiaran Damuan. Sebenarnya, barulah dua tiga hari lepas saya tahu nama taman itu Taman Persiaran Damuan. Taman ini terletak di tebing Sungai Brunei. Tujuannya selalu pergi ke situ ialah untuk beriadah di waktu petang atau bahasanya masa kecil dahulu - nak main gelongsor. Yang menariknya tentang taman ini ialah ia menawarkan pemandangan Istana Nurul Iman yang sangat indah. Istana Nurul Iman diiktiraf sebagai istana terbesar di dunia yang masih digunakan untuk tujuan utamanya, iaitu sebagai istanalah. Faham?

Saya di Taman Persiaran Damuan. Istana Nurul Iman kelihatan di belakang
Istana Nurul Iman siap dibina pada 1984. Kalau hendak diteliti, banyaklah fakta yang menakjubkan seperti bilangan biliknya, bilik airnya, chandeliernya, garaj kereta Sultan dan macam-macam lagi. Cuma yang menariknya, setiap tahun Sultan akan membuka istana untuk dikunjungi rakyat pada Hari Raya Aidilfitri. Tapi, sepanjang di sana, tak pernahlah saya pergi ke majlis begitu di istana.

Satu bangunan yang menarik perhatian di BSB ialah Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja atau Royal Regalia Building. Binaan berkubah besar ini terletak di dalam perjalanan antara rumah ke Masjid Omar Ali Saifuddin. Semasa awal berada di BSB, asalnya terdapat tugu Winston Churchill di tapaknya. Winston Churchill ialah Perdana Menteri United Kingdom semasa Perang Dunia Kedua.

Royal Regalia Building
Disebabkan asal usul orang Malaysia, maka tempat yang selalu juga dikunjungi ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Terletak di Berakas, airportnya ini tidaklah sesibuk di tempat lain. Yang menarik di sini dahulu ada dipamerkan kereta di atas sebuah platform khas. Platform itu berputar 360 darjah, jadi sungguhlah takjub melihat kereta diputarkan sebegitu rupa di kala masih baru belajar hidup di dunia. Walaupun pernah terbang dengan Malaysia Airlines, tapi tak pernah melekat pengalaman itu dalam ingatan. Yang ada cuma pengalaman terbang dengan Royal Brunei Airlines saja sebab mungkin bila sudah mumayyiz, tak pernah berpeluang terbang dengan Malaysia Airlines.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Kami kembali ke Malaysia pada tahun 1994. Sepanjang masa membawa kepada menunggu waktu kepulangan ke Malaysia, asyik ternanti-nanti peluang bersembahyang di masjid yang baru siap di BSB. Kira-kiranya antara pengalaman membesar di sana ialah melihat pembinaan Masjid Jame 'Asr Hassanil Bolkiah. Letaknya di tepi jalan yang rasanya menuju ke pasar. Maksudnya dari rumah nak ke pasar, akan lalu kawasan masjid ini, agaknyalah. Masjid ini dibina sebagai wakaf Sultan Hassanal Bolkiah, juga sebagai tanda memperingati sambutan 25 tahun pemerintahan Baginda pada waktu itu. Dipendekkan cerita, hajat nak solat di dalamnya tak tercapai kerana sampai masa nak balik Malaysia, tetap juga tak dibuka masjid ini walaupun lampu-lampu bergemerlapan di malam hari. Yang tercapai cumalah bergambar di pagarnya sahaja.

Di Masjid Jame 'Asr Hassanil Bolkiah
Sebelum balik ke Malaysia juga, sempat melawat Jerudong Park yang waktu itu baru disiapkan. Jerudong Park ini satu masa dahulu terkenal sebagai taman tema yang tidak mengenakan bayaran masuk. Tapi sebelum balik, belum siap lagilah taman temanya. Yang siap cuma mercu tandanya sahaja iaitu gambar di bawah ini.

Di Jerudong Park
Sekianlah kisah cinta dan rindu saya pada bandar kelahiran di negeri tanah tumpah darah.

No comments: