Assalamu'alaikum,
Salam Ramadhan al-Mubarak kepada semua. Akhir-akhir ini kita 'macam' gempar dengan isu seorang ahli parlimen bukan Islam masuk ke dalam dewan solat sebuah surau untuk menyampaikan sumbangan dan sepatah dua kata. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu berapa patah beliau berucap di dalam surau tersebut. Tapi yang nyata, ia telah menjadi isu yang hangat diperkatakan, setidak-tidaknya oleh media perdana dan beberapa individu yang popular.
Saya tidak berapa berminat untuk mengulas dari ruang lingkup politik, kerana politik di Malaysia ini biasanya apabila satu pihak melakukannya, yang satu pihak lagi akan membangkang sehingga ke titisan air liur yang terakhir. Maka elok kita biar politik terjun bersama labunya.
Pada mulanya saya kira berdasarkan pengalaman dan pembacaan sebelum-sebelum ini, memanglah sesuatu yang salah apabila bukan Islam memasuki ruang solat masjid. Saya masih ingat terbaca sebuah artikel menceritakan pengalaman seorang ustaz yang menyertai sebuah program yang menyatukan penganut beberapa agama di Malaysia dan semua peserta di bawa ke rumah ibadat setiap agama. Maka sampai masanya tiba giliran rombongan melawat sebuah masjid yang agak besar, tidak silap saya di Shah Alam, kebenaran yang diberikan pada mulanya ditarik balik dan rombongan tidak dibenarkan masuk ke dalam Masjid. Ustaz tadi yang menguruskan lawatan ke masjid berkenaan rasa marah dan malu kerana sebelum itu dia boleh masuk ke dalam gereja, kuil dan sebagainya tanpa sebarang masalah. Saya tidak ingat bagaimana masalah tersebut berakhir tetapi ia mewujudkan satu persepsi bahawa bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid.
Kemudian apabila timbul isu ahli parlimen bukan Islam masuk ke dalam dewan solat surau, saya menganggap hendak buat macam mana lagi? Sudah memang Islam di Malaysia ini eksklusif untuk orang Islam sahaja. Saya sangka juga fatwa-fatwa di Malaysia ini akan berkata haram bagi bukan Islam masuk ke dalam dewan solat sehinggalah saya tergerak hati untuk mencari sendiri keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berkenaan perihal bukan Islam masuk ke dalam masjid atau lebih tepat lagi mengikut fatwa tersebut, ruang solat utama. Izinkan saya memetik keterangan dari fatwa tersebut :
"Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab."
Pada pendapat saya, sudah tentulah tindakan ahli parlimen tadi mendapat izin pihak surau. Malah menurutnya, beliau dijemput masuk dan beliau sendiri telah 'double check' sama ada boleh atau tidak baginya untuk masuk ke dalam dewan solat tersebut.
Islam di Malaysia ini terlalu eksklusif. Kita selalu tidak membenarkan bukan Islam untuk menghampiri masjid dan surau kita dengan alasan kesucian dan sebagainya. Pemahaman terhadap Islam di kalangan bukan Islam boleh dianggap sebagai rendah, dan ini adalah perkembangan yang tidak baik kerana apabila tidak ada pemahaman asas yang baik di kalangan masyarakat terutama di dalam suasana masyarakat berbilang kaum, adalah sukar untuk kita mencapai perpaduan yang kukuh. Banyak pengalaman saudara baru yang menceritakan sebelum mereka memeluk Islam, jarang orang Islam berdakwah kepada mereka. Ada sebuah kisah jika saya tidak silap di Sarawak, seorang bukan Islam yang dibawa melawat sebuah masjid berkata dia terkejut kerana sebelum itu, dia menyangka orang Islam menyembah patung Nabi Muhammad SAW di dalam masjid! Hal ini sangat merbahaya kerana setiap hari kita berurusan dengan mereka, tetapi dalam masa yang sama tidak ada pemahaman yang baik antara kita. Saya tidak kata persefahaman, sebaliknya pemahaman. Supaya kita boleh faham dia, dia pun boleh faham kita. Bimbang nanti orang kata saya ini Islam liberal pula. Wassalam.
No comments:
Post a Comment