Pages

27 August 2010

Madrasah Ramadhan

Assalamu'alaikum,
Malam ini sudah masuk hari 18 bulan Ramadhan. Alhamdulillah, kita sudah selesai bagi separuh yang pertama. Kini, kita di separuh yang kedua. Selalu juga kita dengar Ramadhan yang mulia itu terbahagi kepada tiga peringkat iaitu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya merdeka dari api neraka. Tapi bila direnung semula sesudah 17 hari berpuasa, berapa kali kita berusaha menghampirkan diri pada Allah? Berapa kali malam kita diisi dengan Taubat, Tahajjud, Hajat? Al-Quran kita juga sudah di mana?

Ada sebahagian dari kita yang apabila tiba Ramadhan berlumba-lumba dia berbuat amal ibadah. Sebahagian pula menganggap Ramadhan itu bulan biasa sahaja yang disyariatkan di dalamnya ibadah puasa. Bila direnung kadang-kadang timbul gusar, timbul bimbang, apa aku ini sudah jauh dari Tuhan? Lantas beristighfar, berdoa "Ya Allah, jauhkanlah kami dari tergolong dalam orang yang jauh dariMu."

Ramadhan ini kalau hendak dibicara soal fadhilat, soal kelebihan, cukup banyak. Ramadhan ini orang kata bulan al-Quran, bulan sedekah, bulan sabar, bulan ibadah dan macam-macam lagi. Sebenarnya mana-mana pun boleh. Sebab itu kadang-kala Ramadhan itu tidak disebut begitu sahaja, sebaliknya disebut sebagai Madrasah Ramadhan, iaitu tempat mendidik, mengasuh, belajar dan seumpamanya.

Masuknya kita di dalam Madrasah Ramadhan ini kita berpeluang mendidik diri, jiwa dan yang penting nafsu kita mengikut syariat Islam. Masa saya masih di sekolah rendah masih saya ingat pesan ustaz apabila ada orang mengajak kita bergaduh di bulan Ramadhan, maka ucapkanlah "Inni saaim" sebanyak tiga kali. Terfikir saya apa hikmah di sebalik perkataan itu. Jelas apabila seseorang itu dilaparkan secara asas mindanya akan terjejas. Maka lebih mudah bagi dia untuk marah dan sebagainya sehingga boleh membawa kepada pergaduhan. Akan tetapi jika dia sedar bahawa dia sedang melaksanakan syariat Allah iaitu puasa, secara automatik dia akan berasa tenang.

Begitulah indahnya hikmah di sebalik ibadah puasa. Jika tidak dihayati, kita tidak lebih cuma mendapat lapar dan dahaga. Sebaliknya jika berjaya mendidik jiwa kita, maka InsyaAllah keluar kita dari Madrasah Ramadhan nanti dengan kejayaan. Sungguh saya bukan ahli dalam bidang agama tetapi sedikit sebanyak dapat disampaikan buat peringatan bersama. Wassalam.

No comments: